Pendaftaran pengundi 18 tahun secara automatik jadi atau tidak ?

Pendaftaran Pengundi 18 Tahun Secara Automatik Jadi atau Tidak ?

PUTRAJAYA: Kepemimpinan Pa­katan Harapan (PH) terlalu tergesa-gesa membuat keputusan mela­yakkan anak muda berusia 18 tahun secara auto­matik menjadi pengundi ketika meminda perundangan tertinggi negara sebelum ini.\

Perkara itu didedahkan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang melihat PH tidak menghitung baik buruk arus perdana nilai hidup di negara ini, sekali gus meletakkan negara berdepan situasi tidak menentu gara-gara politik.

Apatah lagi menurut beliau, negara ini sudahpun berpolitik sepenuh masa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rais memberitahu, reali­tinya gubalan dasar menerima warganegara berusia 18 tahun sebagai pengundi banyak mengandungi natijah pro dan kontra.

Namun, jelas beliau, pada usia itu, mereka yang meliputi 38 peratus pengundi baharu hanya dalam kalangan anak-anak sekolah yang mahu mencuba kehidupan baharu.

“Mereka kurang intim dengan perkara-perkara asas perjuangan. Kini pun hampir ter­tubuh parti orang muda, jus­teru dinatijahkan untuk tua dan muda yang sengaja diwujudkan. Kasta ini semacam dirancang awal-awal.

“Golongan pemimpin vete­ran politik seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Tun Razak dan lain-lain termakan umpan itu. Kasta muda ini tak akan suka ikut pimpinan golongan tua,” kata beliau di sini semalam.

Pada November tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Men­teri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam jawapannya di Parlimen memberitahu, pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya Julai ini.

Menurut beliau, SPR sedang mengemas kini usaha pemerkasaan sistem demokrasi berkenaan dan menjangkakan semua persiapan boleh di­siapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019.

Bagaimanapun, pelaksanaan Proklamasi Darurat yang sedang dikuatkuasakan sehingga Ogos ini menimbulkan tanda tanya adakah dasar baharu itu boleh diteruskan atau sebaliknya.

Usaha Utusan Malaysia mendapatkan pengesahan SPR belum mendapat jawapan.

Mengulas lanjut, Rais berkata, hakikatnya usia 18 tahun membabitkan mereka yang belum bersedia di sisi tuntutan demokrasi, warna-warni hidup, apatah lagi makan minum masih ditanggung ibu bapa, tetapi diberi tanggungjawab besar menentukan masa depan negara melalui undi.

Katanya, biarpun negara lain sudah mengamalkan pelaksanaan kelayakan mengundi itu, Malaysia tidak perlu menjadi ‘pak turut’ dalam menentukan politik tanah air.

Jelas beliau, isu tersebut boleh dilaksanakan walaupun dengan penguatkuasaan darurat ketika ini.

Bagaimanapun, kata beliau, wujud kuasa lain untuk tidak melaksanakannya atas sebab-sebab keutamaan lain seperti tuntutan untuk menangani pandemik Covid-19.

“Lagipun apa-apa peranan dan kuasa legislatif kini sedang ‘dicutikan’ hingga Ogos. Nampak oleh ramai pihak bahawa tanda-tanda persediaan untuk mengadakan pilihan raya sudah ada,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pelaksanaan kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik pada Julai ini diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menguatkuasakannya.

Katanya, pada peringkat Parlimen, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan had umur warganegara itu diluluskan pada 2019. – UTUSAN

Showing 1 reaction

Please check your e-mail for a link to activate your account.
  • Rose Sarawak
    published this page in News & Stories 2021-02-10 10:44:40 +0800